Assalamualaikum.
Kali ini saya ingin panjangkan lagi pengkajian saya tentang Ibnu Miskawayh,seorang tokoh yang hidup pada zaman abad pertengahan. Sebelum ini DISINI (bagi kursus Pengantar Falsafah) telah saya ceritakan secara umum tentang beliau. Namun, untuk penulisan ini, kajian saya lebih tertumpu kepada aspek pendidikan akhlak yang dibawa oleh beliau. Sekadar perkongsian dari kajian saya dalam kursus Falsafah Islam :)
1. PENGENALAN
Salah satu misi utama kehidupan manusia adalah memperbaiki dan memperelokkan akhlak masing-masing kerana fitrah manusia menginginkan kesempurnaan. Seseorang yang ingin memperoleh kebahagiaan sejati hendaklah menjadikan akhlak sebagai landasannya dalam bertindak dan berprilaku. Oleh itu, individu yang menginginkan kesempurnaan harus melalui fasa pendidikan akhlak.Pendidikan merupakan satu wadah yang cukup penting bagi menyeru akan perubahan dalam setiap diri individu dan melahirkan insan yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan. Secara amnya, pendidikan merupakan satu proses perubahan sikap dan tingkah laku seseorang dalam usaha mendewasakan manusia melalui pembelajaran, latihan, cara, dan mendidik.
Dalam penulisan ini menyentuh
tentang falsafah akhlak yang dibawa oleh tokoh falsafah islam yang terkenal
pada zaman abad pertengahan iaitu Ibnu Miskawayh melalui aspek pendidikan.
Sungguh pun beliau tidak menyebut perihal aspek pendidikan secara jelas dan
terperinci namun kita boleh ringkaskan bahawa bermula dan berkembangnya akhlak
seseorang adalah hasil daripada pendidikan. Pendidikan yang sempurna dan
dinamik akan menghasilkan individu akhlak yang hebat dari segi luaran dan dalaman. Menurut kamus Dewan Bahasa edisi
keempat, perkataan ‘akhlak’ berasal dari bahasa Arab yang merupakan jama’
dari perkataan khuluq’ yang memberi makna budi pekerti, kelakuan dan
tabiat seseorang. Falsafah akhlak merujuk kepada disiplin ilmu yang mengkaji
serta memepersoalkan pelbagai isu tentang adat, tabiat, sikap dan semua faktor
yang mempengaruhi tingkah laku manusia. Dewasa kini, kita lihat terlalu
banyak kepincangan akhlak dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja.
Permasalahan akhlak ini tidak boleh dipandang remeh-temeh kerana ia melibatkan
dan mempengaruhi tamadun sesebuah negara. Justeru, pendidikan akhlak merupakan
salah satu cara yang boleh diusahakan dan dipraktikkan bagi membentuk serta
membina akhlak individu ke arah melahirkan manusia yang cemerlang sahsiah dan
peribadi.
1. PENGENALAN
Salah satu misi utama kehidupan manusia adalah memperbaiki dan memperelokkan akhlak masing-masing kerana fitrah manusia menginginkan kesempurnaan. Seseorang yang ingin memperoleh kebahagiaan sejati hendaklah menjadikan akhlak sebagai landasannya dalam bertindak dan berprilaku. Oleh itu, individu yang menginginkan kesempurnaan harus melalui fasa pendidikan akhlak.Pendidikan merupakan satu wadah yang cukup penting bagi menyeru akan perubahan dalam setiap diri individu dan melahirkan insan yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan. Secara amnya, pendidikan merupakan satu proses perubahan sikap dan tingkah laku seseorang dalam usaha mendewasakan manusia melalui pembelajaran, latihan, cara, dan mendidik.
Nama sebenar
beliau ialah Abu Ali Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ya’qub Ibn Miskawayh. Beliau
dilahirkan pada tahun 320H/932M di al-Rayy, salah satu tempat di Tehran
sekarang dan tinggal menetap di Asfahan. Al- Ray adalah Bandar yang terkenal di
Parsi kerana ia melahirkan ramai cendekiawan seperti Muhammad bin Zakaria
al-Razi (wafat 320H) dan Fakhr al-Din al-Razi (wafat 606 H). Miskawayh hidup
sezaman dengan al-Biruni, Ibn Sina dan Abu Hayyan al-Tawhidi. Beliau meninggal
pada 9 Safar 421 H/ 16 Februari 1030 M ketika berumur 98 tahun (Leaman 2006:
96). Miskawayh
hidup pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Buwayhid yang memerintah antara
tahun 320H hingga tahun 447H. Beliau sangat Berjaya dalam bidang politik dan
menjadi setiausaha serta pustakawan kepada wazir al-Muhallabi (340-352 H /
950-963 M), Abu’l Fadl (353-360 H / 951-970 M), Abu’l Fath (360-366 H / 970-976
M) dan akhirnya kepada Sultan Adud al-Dawla (372 / 983) (Leaman 2006: 96).
Beliau
dikenali dengan nama Miskawayh atau Maskawayh sahaja, khususnya dalam kalangan
sahabat-sahabatnya seperti al-Tawhidi dan al-Sijistani. Para saujana yang
menggunakan gelaran Miskawayh ialah Tha’Labi, Abu Hayyan al-Tawhidi, Abu
Sulayman al-Mantiq, Abu Bakr al-Khawarizmi, Yaqut al-Hawami, al-Qifti, Ibn Ali
Usaybi’ah, al-Zirikli (Leaman 2006: 96).
Selain
itu, Ibnu Maskawayh juga diberi gelaran al-Khazin yang bermaksud
pustakawan kerana perkhimatannya dalam tempoh yang panjang sebagai pustakawan
kepada beberapa orang pembesar Buwayhid (Abdul Kadir 2008: 494).
Miskawayh
merupakan ulamak yang banyak memberi sumbangan dalam bidang akhlak. Dalam
bidang pemikiran Islam, perbincangan tentang akhlak tidak lengkap sekiranya
tidak disebut pandangan beliau. Miskawayh menegaskan, matlamat beliau menulis
kitab Tahdhib al-Akhlak adalah dengan tujuan untuk menghasilkan akhlak
yang dapat melahirkan perbuatan baik tanpa merasakan satu tekanan atau
kesukaran dalam mempraktikkannya. Di samping itu, beliau juga menghasilkan
karya dari pelbagai topik seperti sejarah, psikologi dan kimia tetapi dalam
bidang falsafah metafizik beliau terpengaruh dengan Neoplatonik. Beliau juga mempelajari
dari karya-karya besar Ibnu Tabari dengan Ibnu Kamil yang merupakan pelajar
sejarah (Leaman 2006: 96-97).
3. SUMBANGAN MISKAWAYH DALAM BIDANG ILMU

1.
Tahzibul-akhlak
wa tahthirul a’raq
2.
Tujarib al-Umam
wa Ta’aqab al-Hamam
3.
Al-Fauzul al-Akbar
4.
Al-Fauzul al-asghar
5.
Tartib as-Saadah
6.
Risalah fi
Mahiyah al-‘Adl
7.
Al-hikmah
al-Khalidah (Abdul Qadir 2008: 494).
4. KONSEP PENDIDIKAN AKHLAK
Definisi akhlak
menurut Miskawayh ialah suatu situasi yang wujud pada jiwa setiap individu. Ia
menjadi punca kepada semua perbuatan yang dilakukan oleh individu tersebut
tanpa melalui proses pemikiran, pertimbangan dan penelitian.
Akhlak bukan perbuatan yang
dilakukan oleh seseorang, tetapi ia merujuk kepada dimensi dalaman yang
menyebabkan sesuatu perbuatan itu terjadi. Akhlak ibarat kilang, manakala
perbuatan pula adalah produk yang dihasilkan. Jika perbuatan yang dihasilkan
adalah baik, maka ini menunjukkan bahawa seseorang mempunyai akhlak ataupun
dimensi dalaman yang baik dan begitulah juga sebaliknya.
Akhlak atau situasi dalaman seseorang
boleh menerima perubahan dan boleh dididik menjadi baik kerana ia bersifat
responsif terhadap pendidikan, latihan dan disiplin. Malah tujuan utama agama Islam
adalah mereformasi akhlak manusia. Sekiranya akhlak merupakan sesuatu yang
statik dan tidak boleh diperbaiki, maka sudah tentu nasihat, undang-undang
kerajaan, peraturan dan sebagainya menjadi tidak berguna lagi (Mohd. Nasir
2010:112).
Realitinya, dalam kalangan manusia
ada yang berakhlak baik secara semulajadi dan mereka tidak berubah arah ke arah
kejahatan. Golongan ini adalah sedikit sahaja. Selain itu, ada juga dalam
kalangan manusia yang berakhlak buruk secara semulajadi dan mereka tidak
berubah ke arah kebaikan. Golongan ini adalah paling ramai. Namun, ada satu
golongan yang yang berada di tengah-tengah dari kedua-dua golongan ini. Mereka
ini berubah mengikut siapa orang yang mereka hampiri dan dampingi. Sekiranya
mereka bersahabat dengan golongan yang cenderung ke arah kebaikan maka mereka
akan berubah menjadi baik dan sekiranya mereka bersahabat dengan golongan yang
cenderung ke arah kejahatan, mereka juga akan berubah menjadi jahat (De Boer
1970: 129-130).
5. TUJUAN PENDIDIKAN AKHLAK
Setiap perkara
yang berlaku dalam kehidupan mempunyai matlamat dan tujuannya yang tersendiri. Justeru,
tujuan pendidikan akhlak yang dirumuskan oleh Ibnu Miskawayh adalah terwujudnya
sikap batin yang mampu mendorong secara spontan untuk melahirkan semua
perbuatan yang bernilai baik sehingga mencapai kesempurnaan dan memperoleh
kebahagiaan sejati.
5.1 Kebaikan dan Kebahagiaan
Peranan aspek
pendidikan adalah bagi melahirkan individu seseorang yang baik akhlaknya,
bahagia dan sempurna. Kebaikan (al-Khairaat) dan kebahagiaan (as-Sa’adaat)
merupakan suatu kata subjektif yang saling memerlukan dan melengkapi.
Kebaikan adalah sesuatu yang telah
ditetapkan dianggap baik menurut pandangan orang-orang terdahulu. Setiap
manusia inginkan kebaikan dan ia merupakan matlamat akhir setiap orang. Tiap
sesuatu matlamat akhir yang memberikan manfaat kepada diri individu dinamakan
ia sebagai kebaikan (Miskawayh 1968: 57).
Kebahagiaan manusia tidak sama
dengan kebahagiaan haiwan. Kebahagiaan merupakan tiap sesuatu yang ada padanya
kesempurnaan yang telah dikhususkan. Kebahagiaan merupakan segala bentuk
kebaikan yang dikaitkan dengan seseorang individu di mana ia telah mencapai
kesempurnaannya (Majid Fakhry 1979: 119).
5.2 Mencapai Kemuliaan Akhlak
Manusia yang
paling mulia ialah mereka yang paling besar kadar jiwa rasionalnya. Justeru,
pendidikan dari sudut jiwa sangat memberi impak kepada kemuliaan akhlak.
Ibnu
Miskawayh menggunakan konsep Plato bagi menerangkan tentang sifat jiwa yang
bersifat entiti atau zat. Jiwa dapat dilihat berbeza dari jasad dan ia
membezakan manusia dengan haiwan dan makhluk hidupan yang lain (Leaman 2006:
97). Jiwa bukan jasad, bukan juga sebahagian dari jasad dan bukan juga benda yang
boleh disentuh, sebagaimana hati, akal dan sebagainya. Jiwa adalah bersifat
kekal abadi dan bebas mengawal jasad manusia (Majid Fakhry 1991: 108).
Miskawayh
menyatakan bahawa jiwa mempunyai pelbagai kekuatan (daya) yang dapat
mempengaruhi seseorang manusia melakukan sesuatu perbuatan sama ada perbuatan
baik ataupun perbuatan buruk. Antara daya tersebut adalah seperti berikut:
1.
Daya rasional (al-Quwwah
al-nathiqah). Daya ini berfungsi melalui organ otak manusia atau lebih
sinonim sebagai akal. Dengan daya ini, manusia boleh berfikir, belajar serta
menjalankan pelbagai penyelidikan, boleh membezakan antara kebaikan dan
keburukan, boleh belajar mengenal Allah dan jalan-jalan yang mendekatkan diri
kepada Allah. Daya ini merupakan daya yang paling tinggi dan berakhlak.
2.
Daya marah (al-Quwwah
al-ghadhabiyyah). Daya ini bekerja melalui organ hati. Daya marah akan
menyebabkan manusia mencaci, memfitnah, dengki, hasad, riak, takabbur, sombong
dan banyak lagi akhlak yang hina. Adapun daya marah yang dikawal akan memimpin
manusia mencapai akhlak yang mulia seperti adil, pemurah, penyayang dan
sebagainya.
3.
Daya syahwat (al-Quwwah
al-bahimiyyah atau al-syahwiyyah). Daya ini banyak mempengaruhi manusia
supaya tunduk kepada hawa nafsu seperti nafsu makan, nafsu seks, hiburan dan
semua jenis keseronokan yang dituntut oleh jasad.
Menurut
Miskawayh, daya rasional adalah anugerah Allah yang paling berharga kepada umat
manusia. Ia berasal dari Allah, bersifat ketuhanan dan menjadi wakil Allah
dalam diri setiap insan. Disebabkan daya rasional, maka manusia layak diberi
tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Kekuatan rasional
membolehkan manusia mencapai darjat yang lebih mulia daripada haiwan, malah
mampu juga menandingi para malaikat. Manusia dianggap hidup sekiranya daya
rasional masih bersamanya dan akan dianggap mati sekiranya daya rasional keluar
dari jasadnya (Mohd. Nasir 2010: 123).
Justeru,
Miskawayh menyatakan wujudnya perbezaan darjat dalam kalangan umat manusia. Ada
yang mulia dan ada juga yang hina kerana masing-masing bertindak berdasarkan
kekuatan yang paling kuat menguasainya. Sekiranya seseorang manusia paling kuat
dipengaruhi oleh daya rasional, maka individu tersebut akan mencapai tahap
kemuliaan akhlak (Mohd. Nasir 2010: 116-117).
6. LINGKUNGAN PENDIDIKAN AKHLAK
Miskawayh
mendakwa bahawa akhlak tidak memadai dengan menguasai ilmu pengetahuan yang
tinggi tentang jiwa serta arif dengan pelbagai kaedah untuk mengawal jiwa
sahaja tetapi manusia perlu ada reformasi akhlak luaran yang meliputi
aspek-aspek seperti pergaulan (association), cinta (love) dan
persahabatan (friendship). Aspek-aspek tersebut perlu diterjemahkan
dalam kehidupan-kehidupan seharian (Mohd. Nasir 2010: 125).
Menurut
Ibnu Miskawayh (1968: 25), kebaikan hanya boleh dicapai melalui persatuan atau sosial.
Seorang individu takkan mampu untuk mencapai kesempurnaan seorang diri bahkan
mereka memerlukan jemaah atau bilangan kawan yang ramai untuk mencapai
kehidupan yang baik dan sentiasa berada di jalan yang lurus.
Oleh sebab itu, para ahli falsafah
mengatakan bahawa sivik seorang individu bergantung kepada keadaan
persekitarannya. Setiap individu memerlukan antara satu sama lain di
sekelilingnya sebagai keperluan. Jadi, mereka perlu bersikap baik, peramah dan
saling sayang menyayangi sesama mereka untuk mencapai kesempurnaan sifat
kemanusiaan.
Ibnu Miskawayh telah menggariskan
panduan dalam persahabatan (friendship) dan langkah memilih sahabat untuk
kehidupan sosial yang baik. Antaranya :
1.
Seorang individu perlu memilih sahabat
dengan betul dan berhati-hati.
2.
Mendekati para sahabat dengan jiwa
yang peramah dan penuh pertimbangan serta kawan yang bersedia untuk berkongsi
segala kegembiraan dan kesedihan.
3.
Tidak kedekut dengan sahabat-sahabat
untuk berkongsi pengetahuan dan kelebihan.
4.
Memberi teguran yang baik atas
kesalahannya dan sentiasa mewakilkan diri untuk memberi nasihat (Majid Fakhry
1991: 118-119).
Dengan
pilihan sahabat atau jemaah yang tepat akan mudah terbentuk sistem pendidikan
akhlak yang efektif dalam kalangan masyarakat kerana manusia mudah terpengaruh
dengan orang-orang yang berada di sekelilingnya.
Seterusnya,
cinta (love) wujud dalam pelbagai bentuk dan mempunyai banyak
pembahagian. Pertama, jenis cinta yang cepat terjalin, tetapi cepat terlerai.
Kedua, cinta yang cepat terjalin tetapi lambat terlerai. Ketiga, cinta yang
lambat terjalin tetapi cepat terlerai dan keempat ialah cinta yang lambat
terjalin serta lambat terlerai.
Jenis
cinta terbahagi kepada empat iaitu perasaan suka, hebat, berguna dan gabungan
ketiga-tiga jenis ini. Sekiranya cinta berlaku atas perasaan suka, ianya
termasuk dalam golongan yang pertama. Sekiranya cinta berlaku atas dasar
kehebatan, ianya termasuk dalam golongan kedua. Sekiranya cinta berlaku atas
sebab kegunaan, ianya termasuk dalam golongan ketiga. Seterusnya, sekiranya
cinta berlaku kerana ketiga-tiga elemen ini, maka akan terhasillah cinta yang
lambat terjalin serta lambat juga terlerai (Miskawayh 1968: 123-124).
7. METODOLOGI PENDIDIKAN AKHLAK
Metodologi
sasaran Ibnu Miskawayh adalah pembaikan akhlak individu. Persoalannya, adakah
akhlak boleh diasuh menjadi baik? Jawapannya sudah tentu boleh, kerana akhlak
atau situasi kejiwaan seseorang tidak bersifat beku atau statik, tetapi
responsif terhadap pendidikan, latihan dan disiplin. Ibnu Miskawayh mendakwa
bahawa seseorang berpotensi untuk merubah akhlak mereka menjadi baik sama ada
dalam jangka masa yang singkat ataupun panjang. Namun, tahap kemampuan dan
pencapaian manusia dalam menerima pendidikan dan perubahan adalah berbeza.
Sesetangah manusia mampu memberi respons terhadap pendidikan dalam masa yang
singkat. Sesetengah yang lain pula agak sukar dibentuk dan mereka kekal dalam
keadaan yang asal. Manakala kebanyakan manusia berada pada peringkat
pertengahan. Mereka memiliki akhlak yang baik dan buruk sekali gus (Mohd. Nasir
2010: 117).
Pendidikan akhlak mesti bermula
dengan mendidik tabiat makan seseorang, kerana tabiat ini dirangsangkan oleh
kekuatan syahwat. Selepas itu, sesorang perlu mengawal kekuatan marah yang
boleh menyebabkan manusia menjadi tamak, takut, haloba, berani dan sebagainya.
Dan akahirnya, seseorang perlu memperkasakan kekuatan rasional (akal) kerana
daya ini menarik manusia ke arah cintakan ilmu pengetahuan, kebenaran,
kebaikan, kebijaksanaan dan sebagainya.
Miskawayh juga menyarankan supaya
seseorang memulakan sesi latihan akhlak dengan memeriksa pelbagai kelemahan
fizikal terlebih dahulu dan seterusnya cuba memenuhi tuntutan-tuntutan asas
yang diperlukan oleh jasad. Jasad memerlukan banyak keperluan asasi tertentu untuk
terus hidup termasuk makanan, pakaian, kesihatan dan lain-lain. Misalnya, dari
segi makanan, sesorang perlu faham bahawa kita mengambil makanan adalah untuk
keperluan hidup, bukan untuk kelazatan dan kenikmatan semata-mata (Mohd. Nasir
2010: 120).
Langkah seterusnya ialah
memperkasakan pendidikan rohani ataupun jiwa manusia. Ini boleh dilakukan
dengan memperkasakan daya rasional (al-nathiqah) kerana dengan daya
mantap ini, manusia layak digelar manusia (insan) malah sesetengah manusia
menjadi lebih mulia daripada itu. Sekiranya jasad memerlukan makanan untuk
meneruskan survivalnya, aspek rohani juga memerlukan makanannya yang tersendiri
seperti ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan untuk melahirkan insan yang kuat
lagi perkasa (Mohd. Nasir 2010: 121).
Miskawayh juga menekankan
kepentingan instituisi keluarga, terutama ibu bapa dalam menjana akhlak yang
mulia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa dan keluarga
bertanggungjawab melatih anak-anak mereka mengamalkan ajaran-ajaran syariat Islam
seperti mengajar mereka menghormati kemuliaan, mencintai kebaikan, berpihak
kepada kebenaran serta mengawal anak-anak dalam pergaulan agar bergaul dengan
golongan yang baik-baik. (Mohd. Nasir 2010: 119).
Ibu
bapa boleh menggunakan pelbagai kaedah pendidikan seperti melakukan proses
penderaan sekiranya perlu, atau menegur anak-anak dengan cara berhemah, atau
menjanjikan sesuatu perkara yang menyeronokkan serta diminati oleh anak-anak,
atau memberi amaran atau denda supaya mereka takut dan gerun.
Jadi, setelah mereka terbiasa dan
telah mengikut proses-proses yang digunakan oleh ibu bapa mereka, mereka akan
boleh belajar bukti tentang apa yang mereka ambil dan akan memahami jalan
kebaikan (Miskawayh 1968: 32).
8. ANALISA
Sebelum ini,
kita telah bincangkan tentang definisi akhlak menurut Ibnu Miskawayh. Pendidikan dan
pembentukan akhlak merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan antara
satu sama lain.
Bolehkah akhlak seseorang dibentuk
melalui pendidikan? Ya, semestinya. Bagi pandangan saya, akhlak melambangkan
diri seorang individu itu sama ada dari segi pendidikan ataupun kehidupan
sosialnya. Seorang individu yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik
kebiasaannya mempunyai akhlak yang mulia (akhlak al-karimah).
Namun begitu, tidak semua yang
mempunyai latar pendidikan yang hebat dihiasi dirinya dengan akhlak yang mantap
kerana apabila kita melihat dan memerhati golongan anak muda masa kini,
terdapat segelintir daripada mereka telah hilang nilai-nilai akhlak murni dan
moral seperti tidak menghormati ibu bapa, para guru dan adab kesopanan juga
telah lenyap daripada mereka. Mereka tidak menghiraukan pandangan orang
sekeliling. Golongan inilah yang dianggap sebagai pengancam untuk jatuh bangun
sesebuah negara. Oleh itu, telah jelas peri pentingnya menjaga dan memelihara
akhlak kerana ianya mempengaruhi sedikit sebanyak bidang tamadun. Ibnu
Miskawayh juga tampil membincangkan soal jiwa manusia. Jiwa bagi saya sangat
memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kerana segala tingkah laku
manusia ditapis di bahagian jiwa. Jika elok tapisannya, maka eloklah hasil
produk diri individu. Justeru, hakikatnya, jiwa, akhlak dan pendidikan saling bergantung
antara satu sama lain.
Akhir-akhir ini, permasalahan akhlak
semakin menular dan serius dalam kalangan masyarakat terutama golongan anak
muda. Kejadian pelbagai fenomena keruntuhan akhlak makin banyak disiarkan di
media massa. Perlakuan sebegini kita tidak ingin tonjolkan kerana anak muda
adalah harapan bangsa, aset negara. Maka, haruslah bagi setiap orang untuk
memahami dan menghayati permasalahan ini bersama. Pendidikan akhlak merupakan
salah satu wasilah untuk membangunkan ketemadunan manusia.
Allah mengutuskan para nabi dan
rasul untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki. Para nabi dan rasul merupakan pendidik
dan contoh teladan terbaik. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Ahzab,21 :
Maksudnya :
Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah S.A.W itu suri teladan yang baik
bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari
kiamat dan yang banyak mengingati Allah .
Pendekatan
yang digunakan oleh para nabi dan rasul ialah dengan membimbing manusia ke arah
tingkah laku yang baik dan amalan yang
berfaedah.
Ibnu Miskawayh menjelaskan bahawa
orang tua tetap merupakan pendidik yang pertama bagi anak-anaknya. Bagi seorang
pendidik, mereka bertanggungjawab untuk membimbing jiwa manusia agar mencapai
kemuncak kebahagiaan. Oleh itu, sebagai anak didik, mereka perlu memberi
penghormatan dan pemujaan sama taraf dengan Tuhan kepada para pendidik.
Pendidik menjadi “a spiritual father and a human lord” (Majid Fakhry 1991:
118).
Keberhasilan pendidikan akhlak
menerusi pendidik dan anak didik adalah kerana kasih sayang antara kedua-duanya
(Majid Fakhry 1991: 118).
9. PENUTUP
Kesimpulannya,
Ibnu Miskawayh merupakan seorang tokoh falsafah hebat yang membawa falsafah
akhlak sebagai falsafah utamanya. Namun begitu, pemikiran beliau juga meluas
dan bukan tertumpu kepada falsafah akhlak semata-mata. Tujuan seorang individu
menjaga akhlaknya adalah untuk mencapai kebahagiaan (as-sa’adaat) dan
kebaikan (al-khair) sepanjang hidupnya.
Ibnu
Miskawayh menyatakan bahawa akhlak adalah suatu benda yang tidak statik dan ia
boleh menerima sebarang perubahan sama ada ke arah kebaikan ataupun ke arah
keburukan melalui pelbagai cara seperti pergaulan, pendidikan, nasihat,
undang-undang dan lain-lain.
Miskawayh
menyatakan objektif ilmu akhlak adalah untuk menempa sesuatu disposisi yang
baik dan sempurna dalam jiwa seseorang. Pendidikan memainkan peranan yang cukup
penting dalam pembentukan akhlak seseorang. Pendidikan akhlak bermula dari
pendidikan jiwa. Maknanya, untuk mencapai tahap akhlak yang tinggi dan mulia,
seorang individu pertamanya haruslah melakukan proses penyucian jiwa (tazkiyah
al-nafs).
Bagi
mencapai kemuliaan akhlak, seorang individu perlu menitikberatkan tentang
pembahagian daya iaitu al-Quwwah al-Natiqah, al-Quwwah al-Bahimiyyah
dan al-Quwwah al-Sabu’iyyah.
Ibnu
Miskawayh juga menekankan bahawa seorang individu takkan mencapai kebahagiaan
dan kebaikan seorang diri. Walaubagaimana cara sekalipun, setiap individu perlu
bergerak bersama dengan individu yang lain atau secara lebih mudah, berada
dalam satu jemaah yang besar. Selain itu, pendidikan akhlak boleh dilakukan
dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian ke atas anak didik sama ada dengan
menggunakan cara yang berhemah ataupun cara yang sedikit keras.
Di
samping itu, Ibnu Miskawayh menggalakkan seorang individu untuk berada di
sekeliling orang yang baik kerana akhlak juga boleh terpengaruh dari tingkah
laku orang di persekitaran kita.
RUJUKAN
Al-Quran al-Kareem. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. T.th. Kuala
Lumpur:
Pustaka Darul
Iman Sdn. Bhd.
Abdul Qadir, Mahmud al-Bakar. 2008. ‘Ilm an-Nafs fi al-Turath
al-Islami.
Al-Kaherah: Dar
al-Salam.
Ahmad Sunawari, Long. 2008. Sejarah Falsafah. Malaysia:
Penerbit Universiti
Kebangsaan
Malaysia.
De Boer,T.J. 1970. The History of Philosophy in Islam.
London: Luzac & Company LTD.
Leaman, O. 1993. History of Islamic Philosophy. London &
New York: Routledge.
Leaman, O. 2006. The Biographical Encyclopaedia of Islamic
Philoosophy. London: t.pt.
Majid Fakry. 1970. A History Islamic Philosophy. London
& New York:
Columbia University press.
Majid Fakhry. 1979. Al-Fikr Al-Akhlaqi Al-‘Arabi. Beirut:
al-Ahliah lil Nashr wa Tauzi’.
Majid Fakhry. 1991. Ethical Theories in Islam. Leiden: E.J.
Brill.
Miskawayh, Ahmad Ibn Muhammad bin Ya’kub. 1968. Tahdhib
Al-Akhlak. Beirut:
TheAmerican
University of Beirut.
Mohd. Nasir, Omar. 2010. Falsafah Akhlak. Malaysia: Penerbit
Universiti
Kebangsaan
Malaysia.
Yunasril Ali. 1991.
Perkembangan Pemikiran Falsafah Dalam Islam. Jakarta: Bumi Aksara.
moga memberi manfaat kepada pembaca ^^
No comments:
Post a Comment
Terima kasih sudi komen yang baik-baik di blog Aira,
In shaa Allah Aira akan membalas kunjungan kalian :)